Komuniti 1 Juta Anak-anak Gayong
Silat Seni Gayong sendiri mempunyai akar sejarah yang kukuh sebagai ilmu kepahlawanan bangsa Melayu, berakar daripada lingkungan istana dan kesultanan. Sebagaimana tersusun dan beradabnya sistem istana, demikian jugalah adat istiadat Gayong — merangkumi tertib, protokol, dan hierarki yang berpaksikan nilai kepahlawanan Melayu. Justeru, organisasi sandang dalam Gayong adalah kesinambungan warisan institusi kesultanan Melayu, yang menekankan disiplin, amanah dan kedaulatan adat sebagai teras kepimpinan.
1. Sandang Protokol merupakan salah satu sandang tertinggi dalam struktur adat Silat Seni Gayong yang memiliki nilai simbolik, sejarah dan kehormatan yang mendalam. Sandang ini disembahkan kepada Raja-Raja Melayu, serta dianugerahkan kepada pemimpin tertinggi negara dan negeri sebagai tanda hormat, taat setia, dan pengiktirafan terhadap kedaulatan kepimpinan negara.
Penganugerahan Sandang Protokol melambangkan:
Ketaatan dan kesetiaan murid serta ahli Gayong kepada Raja, pemimpin negara dan institusi pemerintahan.
Hubungan rasmi antara perguruan Gayong dengan sistem kenegaraan dan kesultanan Melayu.
Pengiktirafan terhadap jasa, kepimpinan dan perlindungan negara terhadap pembangunan seni beladiri kebangsaan ini.
Pemberian sandang kepada Raja-raja dan pemimpin juga menegaskan bahawa Silat Seni Gayong bukan sekadar sebuah seni beladiri, tetapi merupakan institusi budaya dan adat Melayu yang menghormati akar sejarahnya yang berpaut kepada sistem istana dan kepahlawanan bangsa.
2. Sandang Mahaguru merupakan sandang tertinggi yang hanya wujud dan dianugerahkan kepada Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim, pengasas dan Pewaris Agung Ilmu Silat Seni Gayong. Sandang ini tidak diwarisi oleh sesiapa selepas pemergian Allahyarham kerana:
Hanya beliau sahaja yang dikhatamkan sepenuhnya dalam Ilmu Gayong, berasaskan amanah keturunan Bugis–Melayu yang diwarisi melalui salasilah kepahlawanan keluarga Meor Abdul Rahman.
Gelaran Mahaguru adalah khusus kepada Pengasas Silat Seni Gayong, dan tidak boleh dipakai oleh mana-mana individu lain selepas kewafatan Allahyarham.
Institusi Silat Seni Gayong mengiktiraf bahawa Mahaguru hanyalah satu dalam sejarah, dan kedudukannya tidak boleh digantikan atau diganti dengan pelantikan baharu.
Atas sebab itu, jawatan atau sandang Mahaguru tidak lagi wujud selepas kembalinya Allahyarham ke rahmatullah. Segala urusan adat dan kesinambungan kepimpinan diteruskan melalui Lembaga Beradat Kebangsaan mengikut amanah dan wasiat Allahyarham.
Sandang peribadi yang dipakai oleh Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman melambangkan:
Martabat tertinggi sebagai Pengasas
Pewaris mutlak ilmu Gayong yang dikhatamkan
Pemegang segala rahsia, tertib dan adat perguruan
Kemuncak ilmu lahiriah dan batiniah dalam sistem Gayong
Daulat kepimpinan yang tidak diperturunkan
Sandang peribadi ini adalah unik, eksklusif dan hanya disandang oleh Mahaguru, tidak diwarisi serta tidak diserah kepada mana-mana pelapis.
3. Sandang Kebesaran Kehormat merupakan sandang istimewa yang dianugerahkan kepada tokoh-tokoh tertinggi negara, pemimpin negeri, atau individu terpilih yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan pembangunan Silat Seni Gayong. Penerima sandang ini tidak semestinya merupakan murid atau ahli Gayong, namun mereka dihormati kerana kedudukan, peranan, jasa serta hubungan mereka dengan pembangunan seni beladiri kebangsaan.
Penganugerahan Sandang Kebesaran Kehormat adalah simbol:
Pengiktirafan tertinggi daripada perguruan Gayong kepada kepimpinan nasional dan negeri.
Hubungan rasmi dan penghormatan antara Silat Seni Gayong dengan institusi negara.
Tanda taat setia ahli Gayong kepada pemimpin dan kedaulatan tanah air.
Penghargaan terhadap jasa bakti penerima dalam memartabatkan budaya, keselamatan atau pembangunan masyarakat.
Sandang ini mengangkat martabat penerima sebagai sahabat dan pelindung budaya bangsa melalui hubungan rasmi dengan institusi Gayong.
4. Sandang Lembaga Beradat (Berjawatan) diwujudkan di bawah struktur Jawatankuasa Agung Lembaga Beradat Kebangsaan, yang juga dikenali sebagai Majlis Tertinggi Lembaga Beradat Agung, serta di peringkat negeri. Tujuan utama sandang ini adalah untuk:
Mewujudkan kecekapan pengurusan adat,
Menjamin tadbir urus Silat Seni Gayong yang tersusun, dan
Memastikan peranan kepimpinan adat berjalan secara efektif di semua peringkat — kebangsaan, negeri, daerah, cawangan dan gelanggang di seluruh negara.
Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, kuasa adat tertinggi berada di bawah pentadbiran Majlis Tertinggi Lembaga Beradat Kebangsaan, serta majlis-majlis dan badan-badan yang ditubuhkan untuk melaksanakan fungsi adat tersebut.
Walaupun demikian, pemegang sesuatu jawatan adat secara individu tidak hanya terikat kepada tugas jawatan, tetapi kadangkala turut mempunyai tanggungjawab persendirian yang membolehkan mereka menjalankan kuasa adat tertentu mengikut budi bicara masing-masing demi kemaslahatan Silat Seni Gayong. Keupayaan ini datang daripada:
Status adat,
Keistimewaan sandang yang dipakai, serta
Mandat khusus yang pernah disampaikan oleh pemimpin adat atau Waris Amanah Mahaguru.
5. Sandang Kegurulatihan merupakan sandang yang dianugerahkan kepada guru, jurulatih, atau tenaga pengajar yang telah mencapai tahap kemahiran, pengalaman, disiplin, dan kefahaman adat tertentu dalam Silat Seni Gayong. Sandang ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap kecekapan mengajar, tetapi juga tanda kekananan, amanah dan keupayaan memikul tanggungjawab kepimpinan gelanggang.
Penganugerahan Sandang Kegurulatihan menandakan bahawa seseorang itu:
Telah menguasai silibus dan tertib pelajaran Gayong.
Layak memimpin kelas, mengurus pelatih dan melaksanakan adat gelanggang.
Mendapat kepercayaan kepimpinan untuk menyebarkan ilmu Gayong secara sah.
Memiliki rekod disiplin, keperibadian dan amalan adab yang baik.
Sandang ini diberikan mengikut syarat, prestasi, serta penilaian adat dan pentadbiran yang ditetapkan oleh perguruan. Tingkatan Sandang Kejurulatihan dalam Silat Seni Gayong Lazim terbahagi Kepala beberapa peringkat mengikut kekananan, pengalaman, dan kelayakan seseorang Jurulatih atau guru.
6. Sandang Khas merupakan sandang istimewa yang dianugerahkan kepada individu tertentu atas ketokohan, kewibawaan, akhlak terpuji, pengabdian, atau kemahiran luar biasa dalam Silat Seni Gayong. Sandang ini tidak memiliki bentuk atau gelaran yang seragam kerana setiap penganugerahan adalah unik kepada penerimanya, berdasarkan ciri istimewa yang hanya dimiliki oleh individu tersebut.
Oleh itu, jenis sandang dan gelarannya tidak dinyatakan secara umum, kerana ia bergantung kepada pertimbangan adat, kelayakan peribadi dan penilaian tertinggi kepimpinan Silat Seni Gayong.
Selain diberikan kepada tokoh pemimpin dalam Gayong, Sandang Khas juga dianugerahkan kepada ahli yang:
Mempunyai kebolehan istimewa dalam berGayong, sama ada aspek fizikal, seni tempur atau pencapaian tertentu.
Menguasai kemahiran khusus dalam pelajaran Gayong seperti ilmu senjata, tempur tangan kosong, perubatan Gayong, atau disiplin batin tertentu.
Menunjukkan jasabakti yang besar kepada perguruan dan pembangunan generasi pelatih.
Penganugerahan Sandang Khas adalah suatu penghormatan yang sangat tinggi dan jarang, melambangkan pengiktirafan terhadap bakat, kepakaran dan jasa luar biasa seseorang.
Portal eGayong Diuruskan oleh:
PUSAT PENGAJIAN ISG MALAYSIA
KOMPLEKS PERNIAGAAN SAIDINA ALI KOK LANAS 16450 KETEREH KELANTAN.