Komuniti 1 Juta Anak-anak Gayong
Pengenalan Gayong
Silat Seni Gayong diasaskan oleh Almarhum Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim. Beliau mempelajari persilatan ini daripada nendanya Tuan Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas. Syed Zainal pula mempelajari persilatan ini daripada Daeng Ambok Solok di Pulau Temiang, berdekatan Jambi, Sumatera. Mat Kilau, Dato’ Bahaman dan Syed Zainal mengikut ceritanya telah diperintahkan oleh Sultan Ahmad Pahang untuk mencari buah keras di Pulau Bangka, Riau, Indonesia. Di Pulau Temiang, yang berdekatan dengan Pulau Bangka, rombongan mereka telah bertemu dengan Daeng Ambok Solok. Daeng Ambok Solok telah bermurah hati untuk menurunkan ilmu Gayong kepada pahlawan Pahang tersebut agar dapat digunakan untuk mempertahankan tanah air mereka kelak. Oleh kerana kesuntukan masa, mereka mengikat janji untuk kembali lagi ke Pulau Temiang setelah selesai menjalankan amanah Sultan. Dalam perjalanan pulang ke Pahang, Mat Kilau diarahkan untuk membeli senapang kopak di Singapura. Mat Kilau, Syed Zainal dan Dato’ Bahaman telah belayar kembali ke Pulau Temiang seperti yang dijanjikan. Mereka telah menuntut ilmu Gayong selama kira-kira dua tahun daripada Daeng Ambok Solok. Silat Seni Gayong ini dipercayai telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dan telah digunakan oleh hulubalang-hulubalang Melaka dalam usaha menentang kemasukan penjajah Portugis.
Nama asal Silat Seni Gayong ialah Silat Seni Sendi Harimau. Silat Seni Gayong mempunyai tujuh peringkat, iaitu: Tapak Gayong (permulaan tapak silat), Seni Tapak Gayong (Pecahan Tapak Gayong), Seni Keris (langkah pahlawan cara menggunakan senjata), Seni Simbat (cara bermain belantan atau pedang), Seni Yoi (buah pukulan), Seni Belian (silat harimau bersilat cara koyak-mengoyak anggota lawan), dan Seni Cindai (tarian silat menggunakan kain sentung atau kain tudung atau kain sarong).
Di dalam Sistem Pendidikan Silat Seni Gayong, bengkong adalah salah satu penanda aras dalam pencapaian Ilmu Kepahlawanan Gayong. Peringkat tertinggi dalam Silat Seni Gayong akan dianugerahkan bengkung hitam Harimau Pelangi Cula Sakti (Tingkatan I - VI).
Logo Silat Seni Gayong
Logo ini adalah diilhamkan sendiri oleh Almarhum Dato' Meor Abdul Rahman bin Tengku Daeng Uda Mohd Hashim, DPCM daripada sejarah dan asal usul Silat Seni Gayong yang beliau terima yang mana ianya diterjemahkan atau digambarkan oleh Allahyarham Pendeta Zaa'ba (Cendekiawan Melayu).
Maksud dari simbolik dari logo Silat Seni Gayong
(i) Naga : Melambangkan kekuatan dan kemahiran di air. Logo naga sebagaimana dipercayai telah dihadiah oleh Maharaja China kepada Allahyarham Dato’ Laksamana Hang Tuah atas keberanian dan kehandalan beliau semasa melawat negeri China dulu. Di sebalik maksud di atas, naga juga melambangkan Allahyarham Dato’ Paduka Mahaguru sendiri, Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim. Kedudukan naga yang melingkungi dunia di mana kepalanya hampir bercantum dengan ekor melambangkan ilmu Silat Seni Gayong akan terkenal ke seluruh dunia.
(ii) Harimau : Melambangkan keberanian dan kepahlawanan di darat. Satu penonjolan identiti atau corak salah satu pelajaran Silat Seni Gayong yang diasas daripada sifat dan ketangkasan seekor harimau. Resam harimau menyembunyikan kukunya, di kala tertentu sahaja ia akan menzahirkan ketajaman dan kekuatan cengkaman kukunya yang boleh mematah dan membunuh mangsanya dalam beberapa saat sahaja.
(iii) Keris bersilang : Simbolik kepada semangat Laksamana Terbilang Melayu Dato’ Hang Tuah dan Dato’ Hang Jebat, 2 orang pahlawanMelayu yang masyhur lagi gagah berani. Keris merupakan salah satu pelajaran yang diajar kepada murid Gayong adalah satu lambang senjata asli bangsa Melayu. Ini membuktikan Silat Seni Gayong adalah seni warisan bangsa yang asli dan tulen.
(iv) Pedang bermata dua : Melambangkan pedang Zulfaqar kepunyaan Saidina Ali r.a. (dihadiahkan oleh Rasulullah SAW) yang terukir kalimah suci daripada al-Qur’an bermaksud "Kemenangan daripada Allah dan kejayaan yang hampir" di sepanjang mata pedang tersebut. Pedang ini dizahirkan bertujuan mengenang kembali perjuangan para sahabat menegakkan Islam di zaman Jahiliyyah.
(v) Bumi : Menunjukkan bahawa Silat Seni Gayong akan dikembang ke seluruh dunia khasnya untuk semua muslim.
(vi) Bulan dan Bintang : Melambangkan agama Islam dan syiarnya berada di puncak dunia. Silat Seni Gayong meletakkan agama di tempat yang paling tinggi sebagai penyuluh hidup.
(vii) Hitam Chula VII : Melambangkan Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negara, bengkong peribadi Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim, Mahaguru Silat Seni Gayong. Bengkong Pelangi Hitam juga bermaksud Silat Seni Gayong bersendikan adat, adatlah yang mengawasi perjalanan Silat Seni Gayong. Tanpa adat, Silat Seni Gayong akan hilang kedaulatan. Oleh itu, menjadi kewajipan semua murid Gayong untuk mempertahankan adat agar halatuju dan matlamat Silat Seni Gayong tidak diseleweng.
(viii) Bejana air : Simbolik kepada universataliti ilmu Silat Seni Gayong. Apa yang didapati atau dilihat pada senibela diri lain sama ada tempatan atau luar negeri telah wujud dalam Silat Seni Gayong. Silat Seni Gayong ialah ilmu persilatan asli yang tidak diciplak dan boleh ditimba sentiasa umpama air yang tidak akan putus. Bejana air juga melambangkan kesatuan hati dan amal. Bak kata pepatah Melayu, "Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana sepakat". Murid Gayong mestilah berpadu kerana menegakkan yang hak.
Slogan Semangat Setiakawan Gayong
SeGayong, Sekendi, Seperigi, Seperminum, Sejalan, Sejadi, Sedarah, Sedaging dan Sepadu. Sembilan “Se” ini melambangkan kekuatan ukhuwwah dan kerjasama sesama segayong, apa jua keturunan seseorang itu sama ada Melayu, Bugis, Acheh, Banjar, Jawa atau Palembang adalah daripada rumpun yang sama mendiami gugusan kepulauan Melayu. Falsafah slogan yang mampu menyatupadukan bangsa Melayu.
Kalimah Gayong
Kalimah Gayong yang terbina daripada 5 sifat iaitu Genggam, Angkat, Yakin, Waras dan Ngeri ditambah pula dengan Slogan Gayong yang memancarkan semangat ; SeGayong (info di atas).
Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada dasarnya disimpul dalam 5 kalimah Gayong itu sendiri:
Ga ( ݢ ) mewakili genggam. Genggam bermaksud kepatuhan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada ajaran Islam dan amanah Silat Seni Gayong yang telah ditinggalkan Allahyarham Dato’ Paduka Meor Abdul Rahman, Pendita Agung persilatan Melayu moden.
Alif ( ﺍ ) mewakili angkat, bererti kewajipan murid-murid Gayong untuk menjunjung kedaulatan Al-Quran dan ketuanan Melayu. Di samping itu juga, semua murid Gayong mestilah memelihara segala amanah sebagai murid dan ahli Gayong yang digenggam agar ia terus dihormati dan dipatuhi.
Ya ( ى ) ialah yakin, bahawasanya kita beriman dengan kebenaran Al-Quran dan segala apa yang dilakukan hendaklah bertauhidkan Allah SWT. Semua murid dan ahli Gayong juga mestilah yakin dengan kelebihan ilmu yang dipelajari dan hanya menggunakannya untuk kebaikan.
Wau ( ﻭ ) ialah waras. Waras dalam ertikata sedar, rasional dan penuh keinsafan atas segala tindakan dan keputusan yang bakal diambil. Ia menggambarkan bahawa seseorang murid dan ahli Gayong tidak akan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan buruk baik dan akibat sesuatu perkara.
Manakala Nga ( ڠ ) pula memberi erti ngeri. Ngeri dengan kebesaran Allah SWT dan azab seksaan-Nya, ngeri atau kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara atau ketika mempamerkan Silat Seni Gayong.
Lima huruf di atas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu mengucap dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, berzakat dan mengerjakan fardhu Haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong ( ) itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong mestilah menjaga kewajiban mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam. Pada hakikatnya, kekuatan seseorang murid Gayong itu terpancar melalui keupayaan melaksana segala titah perintah Allah S.W.T dan menjauhi segala larangan-Nya.
Apabila wujud segala sifat, penghayatan serta amalan dalam konsep yang disebutkan di atas barulah dianggap seorang murid Gayong itu benar-benar menuntut dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong.
INFO BENGKONG ATAU PERINGKAT SILIBUS SILAT SENI GAYONG SECARA KASAR
Di sini adalah penjelasan umum tentang peringkat bengkong di dalam Sistem Pelajaran Silat Seni Gayong.
Peringkat Level O
Peringkat Level 1
Peringkat Level 2
Peringkat Level 3
Peringkat Level 4
Peringkat Level 5
Peringkat Level 6
Peringkat Level 7